Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW mendidik Abdullah Umar yang masih kecil bagi melakukan sembahyang malam.
Abdullah Umar berkata: “Ada seorang lelaki apabila bermimpi nescaya dia menceritakan mimpinya kepada Rasulullah SAW, maka aku pun berharap melihat suatu mimpi dan menceritakannya kepada Rasulullah SAW. Aku adalah seorang kanak-kanak yang masih kecil, aku pernah tidur di masjid kemudian dalam tidurku aku melihat dua malaikat memegang dan membawaku menuju api, tempat itu melingkari seperti sumur yang mempunyai dua tanduk. Di dalamnya terdapat orang yang aku kenal sehingga aku berkata: Aku berlindung kepada Allah daripada api neraka. Lalu datang kepadaku malaikat yang lain seraya berkata: Janganlah kamu takut. Kemudian aku menceritakan mimpi ini kepada saudaranya Hafsah, isteri Rasulullah SAW dan dia menceritakannya kepada Rasulullah SAW sehingga Baginda SAW bersabda: Sebaik-baik lelaki adalah Abdullah, jika dia mengerjakan solat malam.” Maka sejak saat itu dia tidak tidur malam kecuali sedikit. - (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Pendekatan yang paling sesuai untuk mengajarkan Islam kepada anak adalah dengan kaedah targhib wa tarhib (memberi khabar gembira dan ancaman). Di samping memberi khabar gembira mengenai syurga, harapan mendapat ganjaran pahala dan penjelasan secara mendalam mengenai rahmah dan sifat lemah lembut Allah. Seorang anak juga harus didedahkan khabar yang menakutkan dan ancaman kerasnya seksa Allah bagi menumbuhkan jati diri yang berdisiplin seiring dengan meningkatnya kematangan usia mereka. Seorang anak yang tidak diperkenalkan dengan sifat Allah Yang Maha Tinggi dan rahmat-Nya tetapi terus diancam dengan seksaan kubur, azab neraka dan ajaran yang berunsur menakutkan, tidak akan berjaya membentuk bingkai pemikiran benar mengenai Islam? Belum mengenal kasih sayang Allah tetapi dipaksa mempercayai bahawa Allah suka menyeksa. Belum mengenal Allah Yang Maha Pengampun tetapi dipaksa meyakini siapa yang berdosa pasti masuk neraka. Akhirnya anak akan memahami Islam sebagai agama susah, kejam, paksaan dan mengongkong, padahal sistem tarbiah yang diterapkan Rasulullah SAW kepada anak sahabat amat menekankan mengenai sentuhan hati, pujukan dan kelembutan, sesuai dengan fitrah semula jadi kanak-kanak.
* Rasulullah SAW adalah seorang pendidik jiwa terulung. Baginda tidak pernah memaksakan suatu perintah agama tanpa bimbingan, pujukan dan janji serta khabar gembira mengenai ganjaran yang baik. Walaupun Ibnu Umar bermimpi melihat neraka tetapi dia tidak pernah diancam jika tinggal sembahyang malam boleh menyebabkan manusia lalai dan akhirnya masuk neraka. Bahkan Rasulullah SAW memuji dan memberi dorongan bahawa dia akan menjadi pemuda terbaik jika mengamalkan qiamullail.Rasulullah SAW tidak sama sekali menyebut mengenai neraka dalam sabda baginda itu. Yang ada hanya pujian kepada seorang remaja yang sememangnya hanya bersedia untuk dipuji dan dipujuk, bukan ditakuti dan diancam.
No comments:
Post a Comment