Monday, October 5, 2009

ISLAM UNTUK SEMUA


"Dan tidak Kami utus engkau Muhammad, melainkan untuk membawa rahmat kepada seluruh alam".(surah al-Anbiya, ayat 107)

Ayat ini mengisyaratkan bahawa Rasulullah s.a.w. terutus dengan membawa rahmat kepada seluruh alam. Antara rahmat yang dibawa oleh Junjungan s.a.w. yang memancarkan keindahan Islam ialah:

Pertama, rahmat dan keindahan akidah serta syariah Islamiah yang mengatur kehidupan manusia sehingga dengan kehidupan yang berpandukan akidah dan syariah Islam itu manusia mampu menikmati kemakmuran dan kesejahteraan hidup.

Kedua, rahmat dan keindahan akhlak yang bertunjangkan keindahan dan keunggulan keperibadian Rasulullah s.a.w. yang mana dengan menterjemahkan nilai-nilai akhlak itu dalam menjalani kehidupan, pasti keindahan dan rahmat Islam akan melimpah dengan memberi kebahagiaan dan ketenangan hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

Ketiga, rahmat yang diajarkan Islam dengan terjananya nilai persaudaraan yang memancarkan nilai kasih sayang,bersefahaman, bekerjasama, bermuafakat dan bersatu padu. Indahnya Islam kerana tidak menyukai hidup bersengketa dan bermusuhan. Indahnya Islam kerana membenci kehidupan yang bercalar dengan hasad dengki, fitnah memfitnah, berprasangka dan saling berdendam.

Keempat, rahmat dan indahnya Islam kerana menganjurkan nilai kemanusiaan sesama insan dengan saling hormat menghormati, bertoleransi dan memelihara hak masing-masing. Rahmat kasih dan nilai ihsan juga dapat dirasai oleh makhluk Allah yang lain seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar. Sehingga dengan menunaikan hak dan tanggungjawab sebagai manusia muslim, maka tiadalah terjadi penindasan peng-aniayaan dan pencemaran alam sekitar.

Oleh itu marilah bersama-sama kita hayati keindahan Islam dengan mengamalkan segala ajarannya yang terpancar menerusi al-Quran dan Sunnah Junjungan s.a.w. Keindahan Islam dinikmati kerana kita berpegang dengan akidah, menjalani hidup berpandukan syariah dan bergaul sesama insan dengan akhlak Islamiah yang indah seperti menjaga hak saudara dan berkasih sayang serta hormat menghormati.

No comments: